Ogos adalah bulan kelahiran saya. Namun, tidak terkecuali bahawa ada juga peristiwa-peristiwa lain yang berlaku sepanjang bulan ini. Kita mulakan dengan 1 Ogos. Berikut adalah beberapa peristiwa yang berlaku pada tarikh ini sepanjang zaman.
01. Colorado Sebagai Negeri ke-38 Amerika Syarikat
Kredit: The Daily Flag |
Colorado telah diisytiharkan sebagai negeri ke-38 Amerika Syarikat pada 1 Ogos 1876. Colorado merupakan negeri ke-8 terluas dan ke-21 paling ramai penduduk di AS. (Wikipedia)
02. Penamaan negara Republik Demokratik Kongo
Kredit: cheikfitanews.net |
RD Kongo memperoleh kemerdekaan daripada penjajahan Belgium pada 30 Jun 1960. Pada asalnya, negara ini dinamakan sebagai Kongo Belgium. Dan pada 1 Ogos 1964, nama ini ditukarkan kepada Republik Demokratik Kongo. Kongo adalah negara ke-11 terbesar di dunia. (Wikipedia)
03. Fasa Pertama Keretapi Antara Bandar Beijing-Tianjin
Kredit: CRDC |
Pada 1 Ogos 2008, bermulanya fasa pertama bagi sistem rel komuter terpantas di dunia, iaitu Keretapi Antara Bandar Beijing-Tianjin di China. Keretapi ini bergerak pada kelajuan 300 km sejam, dan hanya mengambil masa setengah jam untuk bergerak dari Beijing ke Tianjin dan sebaliknya. Jarak di antara kedua buah bandar ini adalah lebih kurang 120 km. (www.travelchinaguide.com)
04. Serangan Berani Mati di Masjid Herat, Afghanistan
Kredit: Hindustan Times |
Pada 1 Ogos 2017, berlakunya sebuah serangan berani mati di sebuah masjid Syi'ah di Herat, Afghanistan. Tidak dapat dipastikan bilangan angka kematian yang sebenar. Mengikut sumber al-Jazeera, sekurang-kurangnya 29 jasad dibawa ke Hospital Utama Herat menurut Dr Shehrzai, manakala 60 lagi cedera. Sumber dari The Guardian, Reuters dan BBC turut menyatakan angka kematian yang sama; 29 orang. Cuma The New York Times menyatakan hanya 20 orang terkorban.
05. Benin Memperoleh Kemerdekaan daripada Perancis
Kredit: nationalflagstore.com |
Benin mengisytiharkan kemerdekaan daripada penjajahan Perancis pada 1 Ogos 1960. Benin sebelum ini dikenali sebagai Dahomey, terletak di barat Afrika. Bahasa Perancis adalah bahasa rasmi mereka. Di Benin, umat Islam dan Kristian Katolik mempunyai bilangan yang hampir sama ramai. Islam seramai 27.7% dan Katolik seramai 25.5%. Namun, terdapat lagi Kristian Protestan seramai 13.5%, menjadikan Benin bukan negara majoriti Kristian.
06. Hari Bahasa dan Alfabet Azerbaijan
Pada 1 Ogos juga merupakan hari bahasa dan alfabet bagi rakyat Azerbaijan. Azerbaijan terletak di wilayah Kaukasus, yang memisahkan benua Eropah dengan Asia. Azerbaijan merupakan negara majoriti Islam Syi'ah.
07. Hari Lahir Bastian Schweinsteiger
Kredit: Daily Express |
Bastian Schweinsteiger merupakan seorang pemain bola sepak Jerman yang bermain dalam pasukan Jerman bagi memenangi Piala Dunia 2014 yang lepas. Dilahirkan pada 1 Ogos 1984 di Kolbermoor, Jerman Barat pada masa itu. Penampilan paling popular Schweinsteiger adalah ketika beliau beraksi di kelab Jerman, Bayern Munich, sebelum berpindah ke Kelab Chicago Fire, Amerika Syarikat pada tahun 2017.
HIDS SAYA
- 2016 - Minggu kedua Latihan Industri saya di UiTM Jengka tanpa pensyarah yang membantu saya. Beliau ada urusan lain yang memaksa beliau meninggakan Jengka dalam masa seminggu.
- 2017 - Saya tiba di Kelantan pada pagi 1 Ogos, menandakan tamat semester keenam saya di UiTM Jengka.