Tokoh paling berpengaruh adalah Nabi Muhammad SAW. Hal ini dipersetujui sendiri oleh seorang penulis Barat, Michael H. Hart dalam bukunya The 100 serta umat Islam secara keseluruhannya. Berdasarkan pengkajian oleh Hart, Muhammad SAW merupakan satu-satunya tokoh dunia yang meraih kejayaan yang paling luar biasa, baik dalam hal duniawi mahupun hal-hal keagamaan.
Baginda dibesarkan di kota Makkah dan satu-satunya tokoh yang berjaya memimpin bangsa Arab yang pada awalnya berpecah-belah menjadi sebuah bangsa yang kuat. Pada zaman kepimpinan baginda, empayar terkuat dan terbesar pada masa itu adalah empayar Romawi dan Parsi. Kerana akhlak dan sifat baginda SAW, di samping keimanan para sahabat serta pengikut-pengikut baginda akhirnya berjaya menumbangkan kedua-dua kerajaan tersebut yang berkuasa selama beratus-ratus tahun lamanya.
Umat baginda SAW adalah yang paling ramai berbanding umat-umat sebelum baginda. Pada hari ini, Islam adalah satu-satunya agama yang paling berkembang pesat di serata dunia; baik bumi Timur mahupun Barat, sungguhpun Kristian masih menjadi agama yang paling ramai dianuti di dunia sekarang. Bagindalah satu-satunya tokoh yang maksum; bersih dari segala dosa serta pernah diangkat ke langit dan bertemu dengan Allah Azza Wajalla untuk menerima perintah solat lima waktu. Nabi Muhammad SAW adalah pemimpin para nabi, pemimpin para rasul, pemimpin umat manusia dari Nabi Adam hingga ke akhir zaman dan bagindalah pemimpin dunia dan akhirat. Sallallahu 'alaihi wasallam.
Sumber:
- Irwan, N., R.Rizki, A.f., Wibisono, T, & Anggoro, D. (n.d.). Buku Fakta Untuk Pelajar: Pengetahuan Top 10 di Dunia. Kuala Lumpur: Synergy Media. m/s: 168.